1984 - Bangunan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji yang terletak di Jalan Tun Razak
Bangunan Tabung Haji adalah sebuah bangunan yang menjadi mercu tanda pembangunan Islam. Upacara meletakkan batu asas bangunan ini disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Januari 1982 dan siap dibina pada tahun 1984. Bangunan ini di rasmikan oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Mahmood Iskandar Yang Di-Pertuan Agong ke-8 pada 19 September 1985.
Bangunan ini mendapat sentuhan reka bentuk oleh arkitek Malaysia iaitu Hijjas Kasturi. Ianya dibina dalam masa tiga tahun dengan keluasan 55700 meter persegi (600,000 kaki persegi). Gaya senibina yang ditonjolkan di dalam reka bentuk bangunan ini adalah bercirikan Islam yang moden dan global serta mengambil konsep tiga unsur yang diutamakan dalam Islam iaitu Kesederhanaan, Disiplin dan Kesatuan.
Pelan lantai geometri bangunan ini memperlihatkan ekspresi simplitik tradisi agung kesenian Islam dan konsep keluk bulat cengkung yang melambangkan pendekatan revolusi dan moden terhadap senibina pada waktu pembinaan.
Bangunan ini mempunyai lima kolum yang melambangkan lima Rukun Islam sekaligus memenuhi kehendak struktur bangunan itu sendiri. Keistimewaan kolum-kolum itu ialah kelima-limanya tidak kelihatan serentak pada pandangan mata walau dari sudut mana ia dilihat. Konsep ini memancarkan makna bahawa Rukun Islam dan keimanan para penganutnya bukanlah sesuatu untuk dipamerkan dan dibanggakan, tetapi untuk dilaksanakan dan dibuktikan.
15 - Januari 1982, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Majlis perletakan Batu Asas Bangunan Lembaga Urusan Tabung Haji.
Antara sifat unik luar biasa bangunan ini yang tidak ada pada bangunan lain adalah terdapat ukiran Allah SWT dalam tulisan jawi yang sentiasa tersergam indah di puncak bangunan. Selain itu, ciri reka-strukturnya yang melambangkan sifat-sifat kesatuan dan kesepaduan dalam menjalankan ibadah yang dituntut oleh Allah SWT.
Walaupun terdapat perbezaan di kalangan masyarakat Islam di dunia ini, tetapi akhirnya setiap pemeluknya akan sama-sama berhasrat dan berusaha dengan bersusah payah untuk mengerjakan Rukun Islam yang kelima iaitu Ibadah Haji, suatu ibadah yang membuktikan kesatuan dan kesepaduan semangat persaudaraan dalam Islam.
Ketinggian bangunan ini ialah 152 meter (500 kaki) dengan 39 tingkat dan kos pembinaan sebanyak RM 102 juta. Bangunan ini mempunyai 27 tingkat pejabat, 7 tingkat parkir kereta, 2 tingkat untuk bilik servis dan 2 tingkat pelbagai guna seperti kaunter, dewan besar dan media, kedai, kafeteria dan perbankan. Bangunan ini juga direka dengan sebuah surau berbentuk kon dibahagian hadapan dengan kapasiti 250 orang yang juga digunakan untuk Solat Jumaat dimana kapasitinya dapat dibesarkan kepada 600 orang.
bagus dan bermaklumat bagi kerja saya
ReplyDeleteThankk you broo, tanpa mu. Siapakah lah aku
ReplyDelete