Wednesday, January 6, 2016

Asal-Usul Ibadah Haji

 Asal-Usul Ibadah Haji


Ibadah Haji mula disyariatkan Allah SWT pada zaman Nabi Ibrahim AS apabila baginda diperintahkan Allah SWT untuk mendirikan Kaabah bersama puteranya, Nabi  Ismail Di Makkah.
Setelah menunaikan perintah Allah SWT itu, Nabi Ibrahim AS mengunjungi Kaabah pada setiap tahun untuk mengerjakan haji dan apabila baginda wafat, amalan ini diteruskan puteranya Nabi Ismail AS. Kaabah dikunjungi dari generasi ke generasi sehinggalah sampai ke zaman jahilliah di mana amalan haji telah bertukar dengan amalan bertepuk tangan dan siulan sambil mengelilingi kaabah. Masyarakat Arab pada masa itu menjadikan musim haji sebagai waktu untuk mengadakan pelbagai pesta jahilliah.

Mereka menghiasi Kaabah dengan dengan berhala, Syair, lukisan dan menjadikannya tempat untuk pelbagai amalan yang bertentangan dengan syariat agama Tauhid. Keadaan itu berlarutan lebih kurang 2,500 than sehinggalah Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.

Nabi Muhammad SAW berazam untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, dari perhambaan sesama manusia kepada peribadatan kepada Allah SWT. Rasulullah SAW telah berdakwah selama 13 tahun di Makkah dan akhirnya pada tahun ke-8 selepas Hijrah dengan izin Allah SWT baginda telah menguasai semula kota Makkah. Berpandukan Wahyu Allah SWT, Baginda menjadikan semula ibadat haji sebagai ibadat yang bebas daripada sebarang amalan syirik dan jahiliah.