Monday, December 7, 2015

9 Perkara Yang Melemahkan Iman



Orang-orang yang beriman hendaklah sentiasa menghisab dirinya setiap ketika supaya imannya sentiasa kukuh dan tidak menjadi lemah. Diantara perkara-perkara yang boleh melemahkan keimanannya ialah: 

1. Suka melengah-lengahkan tindakan atau mengabaikan amanah.

 Firman Allah s.w.t;

“ Hai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu:"Berangkatlah (untuk berjihad) pada jalan Allah" kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan ) di akhirat hanyalah sedikit.”
(S. at Taubah 38)

Melengah-lengahkan tanggungjawab atau tugas yang diamanahkan akan melemahkan keimanan yang telah dikurniakan oleh Allah; sebaliknya kita hendaklah segera melaksanakannya mudah-mudahan Allah meredhai usaha kita dan mengukuhkan iman kita.

Firman Allah s.w.t. lagi;

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan maupun berat, dan berjihadlah kamu dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”
 (S. at Taubah 41)

Tanpa mengira waktu senang atau susah, payah atau mudah, kita hendaklah berusaha untuk melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah.

2. Mencampuri golongan yang leka, lalai atau membuang masa.

Golongan yang lalai ialah golongan yang suka membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah, atau suka berbual tentang hal-hal keduniaan yang melekakan (secara berlebihan) seperti hiburan, permainan dan sebagainya atau tidak mengingati Allah di dalam tingkah-laku sehariannya. 

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), dan mereka mempunyai mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

 ( s. al A'raaf 179)
Orang beriman hendaklah menghadkan pergaulannya dengan orang ramai. Bergaul ketika perlu dan mengasingkan diri dari golongan yang leka atau lalai. Firman Allah s.w.t. ;
 “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, diwaktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”
 (S. al A'raaf 205)
3. Suka Berbantah-bantah

Apabila orang beriman berbincang tentang sesuatu perkara elakkanlah dari perbuatan suka berbantah atau berbalah. dapatkan kemuafakatan atau keputusan berteraskan syarak, Al-quran dan Hadis. Sepertimana firman Allah :

“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatan dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
(Al-Anfaal: 46)

4. Banyak berkata-kata tetapi tidak melaksanakannya.

Orang beriman bukanlah golongan yang suka banyak bercakap tetapi tidak melaksanakan apa yang dicakapkan tetapi beliau adalah seorang yang berusaha melaksanakan apa yang telah dikatakan. Firman Allah s.w.t.;

“Hai orang-orang yang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah kerana kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak perbuat. “

( s. as Shaf 2 & 3)
5. Terpedaya, leka dan lalai dengan kehidupan dunia.

Kehidupan di dunia adalah suatu kehidupan yang melalaikan tetapi orang beriman akan berusaha menghindarkan dirinya daripada tergoda dan terpesona dengan kehidupan dunia, Tetapi kehidupan dunia hendaklah dipergunakan sebaik-baiknya untuk kepentingan Islam serta mencari keredhaan Allah. Firman Allah s.w.t.;

“Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapak tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapaknya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.
( S. Luqman 33)
6. Merendah-rendahkan atau memandang hina golongan yang lain

 Menghormati dan memuliakan golongan yang lain adalah di atara sifat utama orang beriman. Firman Allah s.w.t.;

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan jangan suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandungi ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan yang buruk sesudah mati dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”
 (S. al Huurat 11)
7. Tidak amanah

 Apabila orang beriman diserahkan satu tugas atau tanggung-jawab dia hendaklah laksanakannya dengan penuh amanah serta berusaha untuk menyempurnakannya. Firman Allah s.w.t.;

“Sempurnakanlah janji Allah, bila kamu berjanji dan janganlah kamu rosakkan sumpah sesudah kukuhnya, padahal kamu telah menjadikan Allah jaminan bagimu. Sungguh Allah mengetahui apa-apa yang kamu perbuat.”
 (S. an Nahl 91)
Sabda Rasulullah s.a.w.;

Tidak beriman oleh mereka yang tidak amanah,dan tidak beragama mereka yang tidak menyempurnakan janji. “ ( Riwayat Ibnu Hibban)

8. Menuruti hawa nafsu atau menggunakan akal semata-mata

Orang beriman hendaklah mendapat bimbingan melalui al Qur'an dan al Hadis. Allah akan sentiasa membimbingnya selagi beliau memelihara keimanannya. Meninggalkan Al Qur'an dan al Hadis akan mendorong beliau mengikuti hawa nafsunya dan akhirnya boleh menjerumuskannya ke lembah kesesatan. Firman Allah s.w.t.;

“Hai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kau khalifah di muka bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil  dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana  mereka melupakan hari perhitungan.”
 (s. Shaad 38:26)
9. Berdusta

Orang beriman hendaklah berusaha berkata benar setiap ketika. Berdusta akan melemahkan iman sehingga akhirnya menghapuskan keimanannya. Sabda nabi s.a.w.;

“Jauhkan diri kamu daripada berdusta, kerana dusta itu menjauhkan iman.”  (Riwayat Ahmad)



Tuesday, December 1, 2015

Sejarah Bangunan Tabung Haji

1984 - Bangunan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji yang terletak di Jalan Tun Razak 

Bangunan Tabung Haji adalah sebuah bangunan yang menjadi mercu tanda pembangunan Islam. Upacara meletakkan batu asas bangunan ini disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 15 Januari 1982 dan siap dibina pada tahun 1984. Bangunan ini di rasmikan oleh Almarhum Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Mahmood Iskandar Yang Di-Pertuan Agong ke-8 pada 19 September 1985.
Bangunan ini mendapat sentuhan reka bentuk oleh arkitek Malaysia iaitu Hijjas Kasturi. Ianya dibina dalam masa tiga tahun dengan keluasan 55700 meter persegi (600,000 kaki persegi). Gaya senibina yang ditonjolkan di dalam reka bentuk bangunan ini adalah bercirikan Islam yang moden dan global serta mengambil konsep tiga unsur yang diutamakan dalam Islam iaitu Kesederhanaan, Disiplin dan Kesatuan.
Pelan lantai geometri bangunan ini memperlihatkan ekspresi simplitik tradisi agung kesenian Islam dan konsep keluk bulat cengkung yang melambangkan pendekatan revolusi dan moden terhadap senibina pada waktu pembinaan.
Bangunan ini mempunyai lima kolum yang melambangkan lima Rukun Islam sekaligus memenuhi kehendak struktur bangunan itu sendiri. Keistimewaan kolum-kolum itu ialah kelima-limanya tidak kelihatan serentak pada pandangan mata walau dari sudut mana ia dilihat. Konsep ini memancarkan makna bahawa Rukun Islam dan keimanan para penganutnya bukanlah sesuatu untuk dipamerkan dan dibanggakan, tetapi untuk dilaksanakan dan dibuktikan.
15 - Januari  1982, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Majlis perletakan Batu Asas Bangunan Lembaga Urusan Tabung Haji. 
Antara sifat unik luar biasa bangunan ini yang tidak ada pada bangunan lain adalah terdapat ukiran Allah SWT dalam tulisan jawi yang sentiasa tersergam indah di puncak bangunan. Selain itu, ciri reka-strukturnya yang melambangkan sifat-sifat kesatuan dan kesepaduan dalam menjalankan ibadah yang dituntut oleh Allah SWT.
Walaupun terdapat perbezaan di kalangan masyarakat Islam di dunia ini, tetapi akhirnya setiap pemeluknya akan sama-sama berhasrat dan berusaha dengan bersusah payah untuk mengerjakan Rukun Islam yang kelima iaitu Ibadah Haji, suatu ibadah yang membuktikan kesatuan dan kesepaduan semangat persaudaraan dalam Islam.

Ketinggian bangunan ini ialah 152 meter (500 kaki) dengan 39 tingkat dan kos pembinaan sebanyak RM 102 juta. Bangunan ini mempunyai 27 tingkat pejabat, 7 tingkat parkir kereta, 2 tingkat untuk bilik servis dan 2 tingkat pelbagai guna seperti kaunter, dewan besar dan media, kedai, kafeteria dan perbankan. Bangunan ini juga direka dengan sebuah surau berbentuk kon dibahagian hadapan dengan kapasiti 250 orang yang juga digunakan untuk Solat Jumaat dimana kapasitinya dapat dibesarkan kepada 600 orang.